CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sejarah Kewujudan Kontrak Sosial


Mengikut pembacaan saya dari internet di mana urlnya adalah http://zanas.wordpress.com/kembalikan-kekuatan-orang-melayu-62-tahun-yang-lalu/kontrak-sosial-malaysia/ yang telah menerangkan tentang kontrak sosial di Malaysia. pada pandangan saya, kontrak sosial ini adalah lebih merujuk kepada mewujudkan sesebuah negara yang stabil dan harmoni di mana rakyatnya dapat hidup dalam suasana yang aman dan tenteram. Seterusnya dapat mengatasi atau mengelakkan daripada berlakunya kekecohan atau huru-hara yang bukan sahaja antara sesama kaum malah antara kaum-kaum lain di Malaysia.

Di sini ingin saya mengimbas serba sedikit mengenai sejarah di Malaysia. Pada mulanya penduduk yang mendiami di Negeri-negeri ini terdiri daripada orang Melayu dan Orang Asli yang merupakan rakyat Raja-raja Melayu dan tetamu asing yang tidak dianggap sebagai rakyat kepada Raja-raja Melayu.Tidak ada kewarganegaraan mahupun dokumen berkenaan taraf kerakyatan sepertimana di kebanyakan negara-negara lain. Tetamu asing ini hidup mewah di Negeri-negeri Melayu di bawah pentadbiran British dan di jajahan British di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.

Apabila Jepun datang memerintah Tanah Melayu, Orang Cina mulai berasa cemas dan tidak selamat kerana Jepun merupakan musuh tradisi Orang Cina. Ramai orang Cina telah menubuhkan dan menganggotai angkatan gerila dan lari ke dalam hutan.

Apabila Jepun menyerah diri, gerila-gerila Cina ini keluar dan merampas balai-balai polis di kawasan pedalaman dan ingin mengisytiharkan bahawa mereka adalah pemerintah di negara ini. Mereka telah menangkap ramai orang Cina dan Melayu dan mereka ini dibunuh. Orang Melayu di kampung-kampung telah membalas dendam dengan membunuh orang Cina di kawasan luar bandar. Ketegangan timbul dan pertempuran antara Cina dan Melayu dapat dielak hanya dengan kedatangan angkatan tentera British ke Tanah Melayu. Tetapi perasaan marah dan benci antara kedua-dua kaum ini tetap tinggi. Di dalam keadaan tegang ini British telah mencadangkan supaya ditubuhkan Malayan Union yang akan memberi “tetamu-tetamu” ini hak kerakyatan yang tidak membezakan mereka daripada orang Melayu. Orang Melayu menolak Malayan Union dan cadangan hak kerakyatan ini. Mereka telah memaksa British untuk kembali kepada keadaan asal atau status quo ante di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) yang baru.

Hanya orang Cina yang menjadi rakyat Negeri-negeri Selat layak untuk mendapat kerakyatan di dalam Persekutuan yang baru ini. Sudah tentu warganegara berketurunan Melayu jauh lebih ramai daripada rakyat Malaya yang berketurunan Cina. Pemimpin-pemimpin Cina merayu kepada British, yang kemudiannya telah memberi tekanan kepada Presiden UMNO, Dato Onn Jaafar supaya mencadangkan agar UMNO dibuka kepada semua kaum. Cadangan ini ditolak oleh pemimpin UMNO yang lain dan Dato Onn terpaksa melepaskan jawatan.

British terus memberi tekanan kepada orang Melayu untuk bersikap lebih terbuka berkenaan dengan soal kerakyatan bagi orang bukan Melayu. Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman memutuskan untuk menubuhkan pakatan dengan MCA (Malaysian Chinese Association) dan MIC (Malaysian Indian Congress). Dalam pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Assembly) 1955, disebabkan kurangnya kawasan majoriti penduduk Cina dan India, MCA dan MIC terpaksa meletakkan calon mereka di kawasan yang mempunyai majoriti Melayu selepas UMNO bersetuju untuk tidak bertanding di kawasan-kawasan ini dan sebaliknya menyokong calon Cina MCA dan calon India MIC. Begitu kuat sokongan orang Melayu terhadap calon Perikatan MCA dan MIC hinggakan mereka menang walaupun menentang calon Melayu daripada PAS. Calon MCA dan MIC kesemuanya menang. Hanya UMNO kalah satu kerusi kepada PAS.

Tunku sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu kemudian memutuskan untuk menuntut kemerdekaan. British terus berkeras menuntut hak kerakyatan bagi orang Cina dan India sebagai syarat memberi kemerdekaan. Untuk mengatasi halangan British terhadap kemerdekaan dan untuk memenangi sokongan orang Cina dan India Tunku memutuskan untuk beri satu juta kerakyatan kepada kedua-dua komuniti ini berdasarkan hanya kepada permastautin. Salah seorang rakyat baru yang menonjol ialah (Tun) Leong Yew Koh, bekas general di dalam angkatan tentera nasional China yang kemudiannya dilantik Gabenor Melaka.

Di peringkat ini pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti yang berdasarkan kepada kaum yang telah mendirikan Kerajaan pemerintahan sendiri di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) British telah berbincang dan mencapai persetujuan berkenaan syarat perhubungan antara ketiga-tiga kaum di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Ianya merupakan agihan yang sama rata antara sesama kaum di Tanah Melayu. Sebagai balasan untuk satu juta kerakyatan bukan Melayu, orang bukan Melayu mesti mengakui kedudukan istimewa orang Melayu sebagai Bumiputera. Beberapa peruntukan undang-undang seperti kedudukan Islam sebagai agama rasmi, pengekalan tanah rizab Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan adat istiadat Melayu dan pengagihan jawatan dalam Kerajaan juga termasuk di dalam persefahaman ini. Berdasarkan imbasan sejarah itu tadi, kita sebagai warganegara patut menyemai sikap toleransi dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain supaya negara Malaysia sentiasa dalam keadaan aman tenteram.

Akhir sekali,dapat disimpulkan bahawa kontrak sosial ini adalah bertujuan untuk mewujudkan satu negara berbilang kaum yang stabil dan harmoni. Segala apa jua faktor yang akan mengakibatkan ketidakstabilan dan menghasilkan ketegangan di antara kaum haruslah dianggap tidak sesuai dengan semangat kontrak sosial ini.

SITI MARIANI BINTI ABDUL GHANI
FKEKK (UTeM, Melaka)
2010

No comments:

Post a Comment

My Blog List